Make your own free website on Tripod.com
     

Renungan
Sabda Rasulullah saw:
"Hendaklah kamu dengar dan taat walaupun jika kamu diperintah oleh hamba berbangsa Habsyi,rambutnya berkerinting seperti buah anggur kering, selama mana dia berpegang kepada Kitab Allah 'Azza wa Jalla."

Pilihanraya: PAS biasa hadapi tekanan, Umno yang tiada pengalaman
-----

Parti Islam Se Malaysia (PAS) sudah biasa menghadapi tekanan politik atau semasa menghadapi pilihan raya, khususnya oleh Kerajaan Barisan Nasional yang sering menyalahgunakan kuasa dengan memperalatkan jentera kerajaan, menyogok rakyat dengan politik wang dan sebagainya.

Wawancara YAB Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, merangkap Menteri Besar Terengganu dengan para wartawan di Kuala Terengganu, memberi penjelasan keterhadap isu-isu yang dibangkitkan.

Wartawan (W): Dato' Seri, kelihatan PAS tertekan menghadapi pilihan raya?

Ustaz Abdul Hadi (AH): Kita tidak tertekan dan kita biasa dengan ditekan. Kita biasa dan sudah menjadi pengalaman kita. Kita bergerak daripada kosong dan di Terengganu kita pernah kosong tidak memenangi satu kerusi pun tahun 1978. Daripada memerintah tahun 1959, kemudian kita jatuh dengan cara politik wang tahun 1961 dan mungkin saudara-saudara belum sempat pada waktu itu. Kemudian, kita naik tahun 1969 dan hampir menang. Kita telah mendapat undi majoriti rakyat tetapi kerusi kita kurang dan tidak boleh memerintah. Majoriti rakyat Terengganu waktu itu menyokong kita tahun 1969. Kemudian, kita menyertai Barisan Nasional dan kalah di Kelantan dan kosong di Terengganu. Selepas itu kita naik balik (semula) dan kita ada pengalaman. Yang tidak ada pengalaman Umno. Umno tidak ada pengalaman. Oleh kerana itu, kepada kita (PAS) adalah asam garam di dalam perjuangan politik. Umno adalah sebuah parti yang mewah dan dia (Umno) tidak bergerak dengan parti. Saya yakin bahawa Umno kalau dia bergerak dengan parti sahaja dia tidak mampu. Dia menggunakan jentera-jentera kerajaan dan ini tidak membolehkan dia menjadi parti yang berwibawa, kalau dia jatuh susah dia hendak bangkit.

W: Dato' Seri mempertikaikan Umno menggunakan jentera kerajaan sebelum pilihan raya. Tetapi tahun 1999, walaupun Umno menggunakan jentera kerajaan tetapi PAS telah memenangi kerajaan negeri di Terengganu. Bagaimana berlaku?

AH: Itu kerana kekuatan kita, kekuatan kita. Kekuatan kita lebih memuncak, bahkan saya yakin pada tahun 1999 itu dan kalau demokrasi berjalan dengan betul, kita sudah boleh memerintah Malaysia. Tetapi awak (wartawan) lihat sendirilah dengan RTM digunakan sepenuh masa, TV3 digunakan sepenuh masa. Awak tidak boleh hendak tipu rakyat. Semua rakyat sudah celik mata sekarang, tetapi yang menjadi masalahnya ada rakyat yang boleh berfikir dan rakyat yang tidak mampu berfikir. Yang tidak mampu berfikir ini ialah mereka yang tidak mendapat suatu maklumat yang penuh daripada semua pihak. Mereka boleh berfikir tetapi fikiran mereka ditutup. Apa salahnya RTM buat macam di negara-negara lain termasuk di Thailand, di Indonesia yang membolehkan semua parti bercakap dalam tv semasa pilihan raya. Semua parti boleh berucap dan rakyat boleh soal. Cara Barisan Nasional itu cara penakut. BN takut berdepan dengan rakyat. Kita takut apa, kita turun berjumpa dengan rakyat, jumpa dengan pegawai kerajaan. Pegawai kerajaan hendak maki kita, kita boleh hadap. Saya yakin Umno tidak boleh hadap macam itu. Awak tidak payah hendak pertahanlah, itu hakikatnya.

W: Dato' Seri, di Terengganu ada pembahagian dana khas. Adakah itu termasuk dalam politik wang?

AH: Ya, itu sebahagian dari politik wang kerana mereka bukan parti pemerintah di Terengganu. Mereka parti pemerintah di pusat. Mereka bukan parti pemerintah di Terengganu dan mereka menubuhkan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung). Penubuhan JKKK ini adalah hak kerajaan negeri bukan kerajaan pusat. Kerajaan negeri telah tubuh JSR (Jawatankuasa Syura Rakyat), kenapa pula tubuh JKKK. Itu telah menyalahi peraturan. Kita tidak ada senarai penerima dana khas tetapi ada yang dapat, datang bagi tahu kepada kita mereka juga dapat. Mereka terima dana khas tetapi mereka terus menyokong kita.

Hilang kerusi

W: Dato' Seri, MB Kelantan, Dato' Nik Aziz ada menyebut bahawa PAS Kelantan akan kehilangan beberapa kerusi dalam pilihan raya akan datang dan Terengganu macam mana?

AH: Terengganu, insyaAllah kita mempertahankan kerusi yang kita ada dan kita berusaha untuk memenangi kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional. Masa akan datang, itu hak Tuhan, bukan hak saya. Tetapi kita akan mempertahankan kerusi yang kita ada dan kita berusaha untuk mengambil kerusi yang dikuasai oleh Barisan Nasional. Saya rasa Kelantan pun begitu dan kenyataan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz itu adalah secara tawaduk dan merendah diri. Secara merendah diri sahaja untuk menggerakkan jentera parti supaya bekerja dengan lebih gigih, jangan 'over confident' kenyataan bersifat saikologi untuk menguatkan petugas-petugas PAS.

W: Dato' Seri, adakah dengan kenyataan Dato' Nik Aziz itu, adakah PAS Terengganu peka dengan apa yang digunakan oleh BN, sama ada propaganda dan apa sahaja yang digunakan PAS sekarang, lebih yakin di Terengganu atau macam mana?

AH: Ya, dari segi lahirnya, insya Allah kita mempunyai kekuatan yang berbeza dan lebih baik dari tahun 1999.

W: Maksud Dato' Seri, tidak ada pembangkang selepas pilihan raya akan datang?

AH: Kita mengharapkan biar adalah juga spesis Umno ini. Dan kita boleh lantik Ahli Dewan Undangan Negeri mengikut perlembagaan yang kita buat itu.

W: Dato' Seri bercakap soal kekuatan PAS menawan kembali kerusi-kerusi yang dimenangi BN. Kalau dahulu kita lihat tahun 1999, lebih kepada isu Anwar Ibrahim tapi kali ini apa yang PAS akan bawa isu-isu nasional dan tempatan?

AH: Kita tidak menafikan isu Anwar memberi sumbangan tetapi kekuatan PAS sudah melonjak sebelum daripada itu. Kalau dilihat daripada statistik pilihan raya di mana lebih daripada 20 kerusi sama yang sudah kita menang atau Barisan Nasional menang dengan majoriti yang tipis, hanya beberapa kerusi sahaja BN menang dengan majoriti yang besar. Itu dalam keadaan politik berat sebelah dengan media dia (Umno) guna, jentera kerajaan, dia guna. Kerajaan negeri dan kerajaan pusat, dia guna semua pada masa itu. Walaupun demikian, pengaruh kita (PAS) melonjak pada waktu itu. Hari ini dalam suasana kita mencapai kemenangan, kita bertahan dengan penyokong yang sudah sedia ada dan kita juga mendapat penyokong-penyokong baru yang melihat perubahan daripada pemerintahan kita. Apabila kita menurunkan kadar kemiskinan, imam-imam yang dilantik adalah 80 peratus dari Umno, kita tidak pecat seorang pun. Dan kita melihat sendiri bagaimana ketelusan kita mentadbir kerajaan negeri. Di mana mereka (imam) yang pernah menyokong Umno di masa itu menunjukkan sokongan kepada kita kerana perubahan yang kita buat, termasuklah dalam pembahagian tanah. Dan ramai orang Umno yang dapat. Bantuan kemiskinan juga kita tidak buang orang Umno yang dapat bantuan. Kita kekalkan mereka dan kita buat pemutihan mereka yang tidak layak dan kita tambah dengan orang lain. Jadi undi PAS bertahan dan dalam masa yang sama, mereka yang pernah mengundi Umno yang kita salurkan bantuan ini bersimpati dengan kita kerana mereka melihat perbezaan dalam pemerintahan.

Bertanding dua kerusi

W: Adakah Dato' Seri akan bertanding dengan dua kerusi dalam pilihan raya umum akan datang?

AH: Sehingga hari ini saya belum lagi membuat keputusan. Saya bergantung kepada keputusan parti. Saya ikut partilah buat keputusan bagaimana.

W: Jadi adakah setakat ini Dato' Seri akan bertanding di kerusi yang sedia ada dimenangi itu?

AH: Setakat ini terpulang kepada keputusan parti di peringkat pusat. Sebab saya tidak buat keputusan bagi diri saya sendiri. Saya serah kepada parti.

W: Bagaimana dengan yang lain?

AH: Yang lain-lain itu kita lihat pada prestasi mereka. Sehingga hari ini, semua wakil-wakil rakyat menunjukkan kedudukan yang baik.

W: Dato' Seri, dalam masa suasana deman pilihan raya dan juga keyakinan parti PAS mempertahankan kerajaan negeri Terengganu, adakah kerajaan negeri membuat persediaan jika kalah?

AH: Kita tidak perlu bersedia kerana kita pernah kalah. Kita 40 tahun pernah kalah. Kita baru menang sekali. Kita tidak perlu bersedia kerana kita pernah kalah. Kalau kita lihat, kita menang satu kali dan kita tidak memerintah berapa kali. Cuma saya bimbang Umno yang tidak ada pengalaman dengan kalah ini akan jadi 'ayam gila mengeram'. Sekarang ini dia (Umno) telah gila mengeram sebab dia kalah sekali. Kalau dia kalah sekali lagi, saya yakin Umno ini akan pupus, dan saya harap dia tidak pupus di Terengganu ini. Biar ada spesis dia yang tinggal di Terengganu untuk menjadi kenangan dan sejarah bagi generasi akan datang.

 
PILIHANRAYA KE-11 : TUMBANGKAN BN!!!